SETYA (kanan) bercakap kepada wartawan selepas disoal siasat beberapa hari lalu.
SETYA (kanan) bercakap kepada wartawan selepas disoal siasat beberapa hari lalu.
Agensi

Jakarta: Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia meletakkan jawatan kelmarin selepas dituduh memeras saham daripada sebuah syarikat perlombongan Amerika Syarikat, antara skandal politik terbesar negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Setya Novanto sebelum ini dirakam menuntut saham daripada syarikat Freeport-McMoRan sebagai ganti kepada keputusan melanjutkan hak operasi syarikat itu di Indonesia dan mendakwa saham itu akan dibahagikan kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan timbalannya Jusuf Kalla.

Kes itu mencetuskan ribut politik apabila rakaman itu tersebar beberapa minggu lalu.

Setya berusaha untuk mempertahankan jawatannya itu walaupun berdepan dengan tekanan dan desakan.

Bagaimanapun, dia akhirnya memilih meletakkan jawatan lewat kelmarin ketika majlis etika Parlimen yang menyiasat kes berkenaan hampir menyelesaikan siasatan.

“Saya dengan ikhlas mengemukakan peletakan jawatan saya untuk kepentingan negara dan rakyat Indonesia,” menurut kandungan surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada majlis berkenaan.

Langkah itu diambil ketika majlis terbabit di peringkat akhir siasatan dengan hampir semua anggotanya mendapati Setya bersalah dan badan berkenaan dilihat hampir mencapai keputusan untuk melucutkan jawatannya.

Ketua majlis berkata, peletakan jawatan Setya bermakna siasatan itu berakhir.

Bagaimanapun, Setya tetap menjadi anggota Parlimen.

Jokowi dan Jusuf sebelum ini menyangkal keras dakwaan mereka mengarahkan Setya untuk meminta saham berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 6:14 AM