Kuala Lumpur: Tarikh perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016 diputuskan dari 24 Februari hingga 2 Mac membabitkan saingan lapan peringkat.

Ia dimaklumkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan memberikan kelegaan kepada penganjur perlumbaan Ciclista Sports Sdn Bhd kerana tarikh asal pada 6 hingga 13 Mac bertembung dengan jelajah Paris-Nice dan Tirreno-Adriatico.

“Ia akan menjejaskan impak LTdL sekiranya berlangsung pada tarikh asal. Jadi perubahan tarikh bermakna peluang yang lebih cerah kepada kami untuk menarik minat pasukan ternama.

“Kami mengekalkan polisi pemilihan untuk menghadirkan 22 pasukan terbaik. Sebanyak 11 pasukan berstatus World Tour dan profesional benua dengan bakinya adalah benua dan skuad kebangsaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2016 Emir Abdul Jalal (gambar).

Edisi ke-21 itu jelas Emir, akan lebih kompetitif apabila pihaknya merangka laluan yang mampu membuka peluang kepada semua jenis pelumba untuk meraih kejayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 5:22 AM