RAMLI (empat, kiri), dan Joo (tiga, kanan) bergambar bersama selepas merasmikan Program Karnival Scam Free Malaysia di Pusat Pameran Pavillion, Bukit Jalil. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
RAMLI (empat, kiri), dan Joo (tiga, kanan) bergambar bersama selepas merasmikan Program Karnival Scam Free Malaysia di Pusat Pameran Pavillion, Bukit Jalil. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 32,462 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian lebih RM1.3 bilion direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan 37.5 peratus daripada 23,608 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, jumlah kerugian juga meningkat sebanyak 33 peratus daripada RM771.1 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

"Pelaburan tidak wujud merekodkan jumlah kerugian paling tinggi pada tahun ini iaitu sebanyak RM421 juta daripada 5,036 kes, diikuti e-dagang (RM382 juta/10,993 kes) dan telekomunikasi (RM327.9 juta/9,526 kes).

"Selain itu, jenayah e-kewangan pula merekodkan RM103.6 juta membabitkan 2,006 kes, manakala 'Love Scam' mencatatkan RM40.9 juta dengan 883 kes dan pinjaman tidak wujud merekodkan RM38.5 juta dengan 4,018 kes pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Scam Free Malaysia yang dianjurkan bersama JSJK dengan Whoscall Malaysia di sebuah kompleks beli-belah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo dan Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa.

Ramli berkata, setakat ini, sebanyak 318,147 nombor telefon scammer yang disenaraikan dalam aplikasi Whoscall menerusi integrasi dengan sistem Semakmule milik JSJK.

"Sejak kolaborasi ini bermula pada 4 Januari lalu hingga hari ini, pihak Whoscall memaklumkan berlaku penurunan sebanyak 50 peratus dalam kadar panggilan dijawab (scammer) direkodkan.

"Ia menyaksikan penurunan daripada 66,810 panggilan dijawab kepada 34,996 panggilan dijawab sekali gus menunjukkan impak positif dalam usaha pencegahan jenayah komersial," katanya.

Beliau berkata, penganjuran karnival itu adalah antara pendekatan diambil pihaknya bagi mengekang ancaman jenayah komersial yang semakin meningkat.

"Kita perlu memastikan orang ramai supaya mereka cakna supaya jangan mudah terpengaruh, mudah menjawab telefon, mudah ditakutkan dan mudah percaya dengan taktik scammer.

"Jika dilihat kepada kes dilaporkan kini, kes penipuan pelaburan direkodkan bukan lagi membabitkan kerugian ribuan ringgit tetapi jutaan ringgit dan keadaan itu amat membimbangkan.

"Justeru itu, kita ingatkan orang ramai bahawa proses pelaburan sebenar bukan mudah seperti diiklankan dalam media sosial yang menawarkan keuntungan tidak masuk akal ibarat duit turun dari langit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 1:38 PM