Kejadian kemalangan yang meragut nyawa seorang lelaki yang berjalan kaki manakala kereta yang melanggarnya terjunam ke dalam sungai menyebabkan penumpangnya lemas di Jalan Nenasi - Rompin dekat Merchong, Pekan. Foto ihsan bomba
Kejadian kemalangan yang meragut nyawa seorang lelaki yang berjalan kaki manakala kereta yang melanggarnya terjunam ke dalam sungai menyebabkan penumpangnya lemas di Jalan Nenasi - Rompin dekat Merchong, Pekan. Foto ihsan bomba
Khairulmizan Yahya


Kuantan: Seorang lelaki maut manakala seorang wanita ditemukan lemas selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Nenasi-Rompin dekat Merchong, Pekan, hari ini.

Dalam kejadian 9.47 pagi itu, mangsa lelaki maut serta-merta selepas dilanggar sebuah kereta sebelum kenderaan terbabit terbabas lalu terjunam ke dalam sungai menyebabkan penumpang wanita lemas.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi diarahkan ke lokasi kejadian.

"Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta yang melanggar seorang pejalan kaki sebelum kenderaan terbabit terbabas ke dalam sungai dan terdapat dua mangsa di dalam kereta berkenaan.

"Pemandu kereta iaitu seorang lelaki selamat dan hanya mengalami cedera ringan manakala penumpang wanita terjatuh ke dalam sungai bersama kereta. "Mangsa (wanita itu) dikatakan dapat keluar dari kereta, namun dihanyutkan oleh arus sungai," katanya dalam kenyataan, di sini,

Menurutnya, mayat lelaki terbabit dihantar ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk tindakan lanjut, manakala mayat wanita itu ditemukan penduduk kampung dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, operasi SAR dilakukan di sekitar sungai terbabit dengan bantuan lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuantan serta tiga anggota dari BBP Rompin bersama sebuah bot penyelamat dengan bantuan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 1:11 PM