Pasukan JBPM Pahang membuat pencarian sebelum menemui mayat mangsa di dasar Sungai Leleh Bukit Ibam dekat Muadzam Shah, Rompin. Foto Ihsan Bomba.
Pasukan JBPM Pahang membuat pencarian sebelum menemui mayat mangsa di dasar Sungai Leleh Bukit Ibam dekat Muadzam Shah, Rompin. Foto Ihsan Bomba.
Khairulmizan Yahya


Rompin: Seorang anggota tentera ditemukan lemas selepas terjatuh di dalam pusaran air berarus deras ketika mandi di Sungai Leleh Bukit Ibam dekat Muadzam Shah, di sini, petang tadi.

Mangsa, Mohd Sabbrie Syahrie Mohd Shah, 28, bertugas Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 3.17 petang.

"Susulan itu, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pekan dan Kuantan dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki dewasa disyaki lemas ketika mandi selepas mangsa dipercayai terjatuh ke kawasan air dalam dan berarus deras.

"Pasukan penyelamat membuat pencarian di permukaan air sebelum memohon bantuan pasukan PPDA Pekan dan Kuantan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pasukan penyelam membuat selaman di lokasi mangsa dikatakan terjatuh kira-kira jam 6.38 petang sebelum mayat mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira 17 minit kemudian.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 10:03 PM