PASUKAN penyelamat menggerakkan operasi SAR Nur Dhiya Aqilah Khairul Adli, 6, di Sungai Lipis. FOTO Ihsan Bomba.
PASUKAN penyelamat menggerakkan operasi SAR Nur Dhiya Aqilah Khairul Adli, 6, di Sungai Lipis. FOTO Ihsan Bomba.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KANAK-KANAK perempuan dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam Sungai Lipis dekat Kampung Penjom, Lipis, hari ini.

Kejadian kira-kira 10 pagi itu, Nur Dhiya Aqilah Khairul Adli, 6, dikatakan terjatuh sebelum hilang dihanyutkan arus.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 10.20 pagi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

“Buat masa ini SAR dijalankan secara water surface (mencari di kawasan permukaan sungai) menggunakan bot penyelamat.

“Cuaca mendung ketika ini dan paras air tinggi serta deras menjadi cabaran kepada anggota penyelamat untuk mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi turut membabitkan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Difahamkan, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang sudah dikerah ke lokasi bagi membantu mencari mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 3:24 PM