Penduduk kampung melihat tanaman yang dimusnahkan oleh gajah di Kampung Tanjung Pari, Siong. Foto Safuri Kamarudin
Penduduk kampung melihat tanaman yang dimusnahkan oleh gajah di Kampung Tanjung Pari, Siong. Foto Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


SEKUMPULAN 12 gajah liar memasuki kawasan kebun dan dusun serta merosakkan tanaman penduduk di Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong, Baling, sejak tiga hari lalu.

Kejadian menyebabkan kebimbangan kepada lebih 900 penduduk kampung itu yang mendakwa takut ke kebun mencari rezeki kerana bimbang terserempak gajah liar.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK) Tanjung Pari, Taib Man berkata, gajah liar itu merosak pelbagai tanaman seperti pisang, anak getah, nangka, tebu dan kelapa.

Beliau berkata, kumpulan gajah liar itu juga berani menghampiri rumah penduduk dan merosak tanaman pada awal pagi.

"Kumpulan gajah itu keluar lewat malam dan akan beredar awal pagi. Banyak tanaman penduduk rosak dibaham gajah liar terutama anak getah yang baru ditanam.

"Ini menyebabkan penduduk tidak berani ke kebun sekali gus punca pendapatan harian juga terjejas," katanya ketika ditemui hari ini.

Taib berkata, beliau sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan segera.

"Saya juga memanjangkan permohonan kepada pihak berkenaan supaya dapat memasang pagar elektrik di kawasan yang menjadi laluan gajah," katanya.

Penduduk, Asri Yaacob, 53, berkata, gajah liar itu bergerak dalam kumpulan dan memasuki kebun penduduk sejak tiga hari lalu.

"Gajah liar itu mencabut anak-anak getah yang baru ditanam menyebabkan penduduk mengalami kerugian. Penduduk tidak berani lagi ke kebun kerana bimbang perkara buruk," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Tanjung Pari, Sarjan Azmi Ismail, berkata, beliau turut memantau kawasan kebun penduduk yang dimusnah oleh haiwan itu.

"Saya melihat sendiri tanaman penduduk musnah dirosakkan haiwan liar itu,"katanya ketika meninjau kebun penduduk hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 6:20 PM