Anak bongsu bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, Datuk Hanifah Hajar Taib, memohon orang ramai mendoakan kesembuhan bapanya yang sedang sakit.
Anak bongsu bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, Datuk Hanifah Hajar Taib, memohon orang ramai mendoakan kesembuhan bapanya yang sedang sakit.
Wartawan BH


Kuala Lumpur: Anak bongsu bekas Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Datuk Hanifah Hajar memohon orang ramai mendoakan kesihatan bapanya yang sedang sakit.

"Doakan beliau sembuh," katanya ditemui media di luar persidangan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keadaan terkini Abdul Taib, selepas didakwa dibawa keluar daripada unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Kuching, Sarawak, tengah malam Sabtu lalu.

Abdul Taib dibawa keluar dari hospital dengan mengabaikan nasihat kakitangan ICU, selain tiada rundingan dengan ahli keluarga.

Timbalan Menteri Ekonomi itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi status Abdul Taib, termasuk dakwaan berlaku penculikan oleh isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib

Dalam satu hantaran di Instagram malam tadi, Raghad berkata, perkara itu tidak benar dan mendakwa beliau boleh membuktikannya, iaitu menerusi nota tulisan tangan jururawat.

Menurut nota yang dikongsi Raghad, pada 1.40 tengah hari Sabtu, doktor dimaklumkan beliau ingin membawa Abdul Taib pulang dan seorang doktor mengambil maklum permintaan itu.

Semalam, pihak polis dilaporkan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Siasatan itu berdasarkan dua laporan polis berasingan, satu dibuat oleh doktor yang bertugas lewat malam Sabtu lalu, manakala seorang ahli keluarga terdekat mendakwa peralatan perubatan yang dipasang di tubuh Abdul Taib dicabut tanpa memaklumkan kepada hospital.

Laporan polis kedua dibuat adik Abdul Taib, Datuk Mohamnad Tufail Mahmud pada Ahad lalu berdasarkan laporan pertama.

Mohammad Tufail mendakwa sebelum ini beliau diberi salinan laporan polis yang dibuat oleh doktor di pusat perubatan swasta berkenaan.

Dalam laporannya, doktor terbabit mendakwa Abdul Taib dibawa keluar dari hospital walaupun dinasihatkan perlu kekal di kemudahan itu untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 3:13 PM