HARIK Fauzi dan isteri, Siti Maryam Issia memakai busana pengantin bersesuaian dengan majlis rumah terbuka Aidilfitri bertemakan ‘Raja Sehari’ anjuran mereka.
HARIK Fauzi dan isteri, Siti Maryam Issia memakai busana pengantin bersesuaian dengan majlis rumah terbuka Aidilfitri bertemakan ‘Raja Sehari’ anjuran mereka.
Redzuan Muharam


Kuala Selangor: Gara-gara tidak berpeluang naik pelamin tahun lalu kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasangan suami isteri mengadakan majlis rumah terbuka bertemakan 'Raja Sehari' semalam.

Majlis itu menyaksikan Harik Fauzi, 40 dan Siti Maryam Issia, 48, selaku tuan rumah memakai busana pengantin bagi menyambut kedatangan kira-kira 200 tetamu terdiri daripada keluarga terdekat serta jiran di taman perumahan mereka di Puncak Bestari 2, Puncak Alam, di sini.

Lebih menarik, Harik dan Siti Maryam turut meletakkan pelamin dalam rumah bersesuaian dengan tema majlis.

Menurut Harik, selain meraikan Aidilfitri, majlis itu diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun perkahwinan mereka pada 3 April lalu.

"Rumah terbuka dengan tema perkahwinan adalah idea bersama saya dan isteri yang tercetus kerana kami tidak sempat melangsungkan majlis persandingan selepas diijabkabulkan.

"Sepatutnya, kami bersanding pada 27 Mei tahun lalu namun tidak kesampaian kerana negara masih dalam fasa PKP ketika itu.

"Memandangkan sudah banyak kelonggaran diberi oleh kerajaan, saya dan isteri sepakat menganjurkan rumah terbuka dan memakai busana pengantin jadi tetamu yang hadir ibarat datang ke dua majlis dalam satu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Harik, persiapan menganjurkan majlis yang bermula jam 11 pagi hingga 4 petang itu dibuat sejak Februari lalu.

Harik bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar sekali gus menjadikan impiannya dan isteri untuk meraikan keluarga serta rakan tercapai.

"Saya dan isteri tidak bersanding tetapi setakat bergambar di atas pelamin saja serta menyanyi bagi menghiburkan tetamu yang hadir.

"Bagaimanapun, majlis meriah malah ada beberapa tetamu hadir datang membawa hadiah untuk kami.

"Terima kasih kami ucapkan dan majlis itu akan menjadi kenangan saya juga isteri sampai bila-bila," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 7:04 PM