Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Guru muzik sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah pada 8 Mei lalu.

Tertuduh Oo Cheng Sing, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah kereta dalam keadaan berbahaya kepada orang awam di Jalan Loh Poh Heng pada jam 10.20 pagi sehingga menyebabkan kematian seorang wanita berusia 59 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Zainal Akram Zainal Azahar.

Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 namun Zainal Akram memohon ia dikurangkan berikutan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 7 Jun lalu Cheng Sing bersama ibu bapanya turut mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan gaduh gempar rentetan insiden kemalangan pada 8 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 11:59 AM
Oo Cheng Sing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Oo Cheng Sing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini. FOTO MIKAIL ONG