TERTUDUH di Mahkamah Majistret Georgetown. FOTO Mikail Ong
TERTUDUH di Mahkamah Majistret Georgetown. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Seorang pempengaruh media sosial yang juga peniaga dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri telefon bimbit milik bekas teman lelakinya, April lalu.

Tertuduh, Sarah Leo Ee May, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Dia didakwa mencuri telefon bimbit bernilai RM2,000 dalam kenderaan di lot parkir hospital, 26 April lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya Darrshini manakala tertuduh diwakili peguam Cha Eng Soon.

Ketika prosiding, Darrsini memohon mahkamah mengenakan jaminan wang berjumlah RM7,000 kepada tertuduh.

Eng Soon kemudiannya memohon kadar minimum memandangkan wang jaminan adalah untuk menjamin kehadiran anak guamnya ke mahkamah dan bukannya bertujuan menghukum tertuduh.

Beliau turut menjelaskan kes membabitkan tertuduh berlaku akibat perselisihan faham antara bekas teman lelakinya yang juga seorang ahli perniagaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 12:51 PM