GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Polis merakam keterangan seorang ahli perniagaan susulan laporan ibu kepada pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha berkaitan buli siber membabitkan anak perempuannya.

Esha ditemukan mati di rumahnya di sebuah pangsapuri di Setapak, di sini, pada 5 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, selain ahli perniagaan lelaki itu, polis juga akan memanggil dua lagi individu termasuk seorang pegawai polis wanita berpangkat Inspektor yang ditahan kerja dalam masa terdekat.

"Kita akan memanggil dua individu berkenaan untuk dirakam keterangan dalam minggu ini.

"Proses ini adalah untuk melengkapkan siasatan kita," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan ibu Esha, Puspa P Rajagopal, 56, membuat laporan membabitkan dua lelaki serta seorang wanita yang dikatakan memuat naik video serta membuat siaran langsung di media sosial berkaitan anaknya.

Puspa berharap polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan buli siber supaya mereka dibawa ke muka pengadilan.

Esha ditemukan mati sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Susulan itu, dua akaun TikTok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha disiasat polis dipercayai menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun masing-masing.

Kandungan berkenaan juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.

Bertindak hasil makluman, dua individu yang dikaitkan dengan dua akaun TikTok terbabit ditahan secara berasingan untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dua individu itu didakwa di dua mahkamah berasingan, di sini, semalam, terkait kes kematian Esha.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 4:23 PM