ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran enam kedai makan di bandar Chukai, pagi semalam. FOTO Rosli Ilham.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran enam kedai makan di bandar Chukai, pagi semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


“KETIKA saya sedang memasak, secara tiba-tiba api keluar daripada tong gas.

“Saya tendang tong gas dan cuba padamkan api dengan kain basah, namun tong gas itu terus menyemburkan api sebelum kedai turut terbakar,” kata Aina Daud, 50, selepas kedai makanannya di Medan Selera Bandar Chukai, hangus dalam kebakaran, pagi semalam.

Kebakaran pada 8.20 pagi itu turut memusnahkan lima lagi kedai makan berhampiran.

Aina berkata, dia tiada upaya menghalang api apabila dinding kedai terbakar sebelum merebak ke kedai bersebelahan.

“Dalam kelam-kabut, saya masih berusaha memadam kebakaran itu sehingga saya ditarik keluar oleh orang ramai kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

“Ketika itu, saya hanya mampu menjerit meminta pertolongan orang ramai untuk membantu memadamkan kebakaran itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 8.35 pagi.

Katanya, seramai sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai berusaha memadam kebakaran itu.

“Api berjaya dikawal dalam masa 10 minit dan dipadamkan sepenuhnya sejam selepas itu.

“Ketika kejadian semua pengusaha kedai makan terbabit baru membuka kedai mereka dan tiada pelanggan.

“Kami sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian dialami peniaga terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 1:21 AM