ORANG ramai dan pekerja melarikan diri dalam kebakaran di Restoran Nasi Kandar Kayu di Lebuh Nipah 5, Georgetown, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
ORANG ramai dan pekerja melarikan diri dalam kebakaran di Restoran Nasi Kandar Kayu di Lebuh Nipah 5, Georgetown, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
Hadzlihady Hassan


“SAYA dan rakan sedang makan sebelum dikejutkan dengan jeritan pekerja dalam restoran mengatakan ada kebakaran.

“Mendengarkan jeritan itu, semua pelanggan berlari keluar menyelamatkan diri kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” kata Muhammad Rafiq Abdul Rahman, 38, menceritakan kejadian cemas ketika Restoran Nasi Kandar Kayu di Lebuh Nipah 5, Georgetown, terbakar, malam tadi.

Menurutnya, ketika itu ramai pelanggan sedang menjamu selera sambil menonton perlawanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Thailand yang disiarkan secara langsung di televisyen.

“Sebaik keluar, saya lihat api sedang marak di bahagian dapur dan beberapa pekerja restoran bertungkus lumus memadam kebakaran itu.

“Mujur tindakan pantas pekerja restoran terbabit berjaya memadam kebakaran dan ketika itu pasukan bomba sudah tiba di lokasi,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.02 malam dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak serta Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba didapati kebakaran berlaku di bahagian dapur, namun ia sudah dipadam pekerja restoran terbabit menggunakan alat pemadam api mudah alih.

“Kebakaran tidak membabitkan struktur bangunan dan hanya bahagian dapur terjejas.

“Selain itu, tiada mangsa dilaporkan cedera dan restoran terbabit kembali beroperasi seperti biasa tidak lama kemudian selepas ia dipastikan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 2:22 PM