Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bekas mudir (pengetua) maahad tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima pelajar lelaki maahad tahfiz yang ditadbirnya, tahun lalu.

Tertuduh, Azizul Yahya, 30, yang hadir ke mahkamah mengenakan jubah warna hijau serta berkopiah bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Norita Mohd Ardani.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu diakwa melakukan beberapa perbuatan bagi maksud seksual.

Perbuatan itu didakwa dilakukan terhadap lima kanak-kanak berbeza yang ketika kejadian berusia antara 12 tahun hingga 15 tahun selain tertuduh ketika kejadian mempunyai hubungan amanah kepada mangsa sebagai seorang Mudir di maahad tahfiz terbabit.

Semua kesalahan itu dilakukan antara Februari 2021 hingga 18 Oktober 2021 di Batu Gajah, Perak.

Pertuduhan dibacakan antaranya mengikut Seksyen 14(a), 14(b), Seksyen 14(d), dan Seksyen 15(e), Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 Akta sama.

Bagi kesalahan Seksyen 14(a), Seksyen 14(b), dan Seksyen 14(d) AKKSTKK 2017, hukuman yang diperuntukkan jika didapati bersalah adalah penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan sementara untuk kesalahan Seksyen 15 (e), sabit kesalahan memperuntukkan penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara Seksyen 16 akta itu yang dibacakan bersama menyatakan, jika seseorang melakukan mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam jadual terhadap seorang kanak-kanak yang mempunyai amanah dengan kanak-kanak itu, maka hukuman hendaklah ditambah lagi kepada penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan yang tidak kurang dari dua sebatatan.

Pendakwaan dikendalikan Timabalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Syahrul Nizam Mohd Rabi.

Hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, mengambil kira bilangan pertuduhan serta jumlah mangsa bagi kes tertuduh selain khuatir risiko kacau ganggu tertuduh terhadap saksi kes jika jaminan dibenarkan.

Norita kemudiannya menetapkan 23 Februari depan untuk kes disebut semula termasuk untuk serahan dokumen berkaitan.

Sementara itu, Syahrul Nizam ketika ditemui di luar bilik perbicaraan berkata, pihaknya akan failkan semakan kehakiman berhubung keputusan Norita yang tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, ke Mahkamah Tinggi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 12:36 PM