BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah spesis Harimau Malaya dalam negara ketika ini dianggarkan kurang 200 ekor dan ia dijangka pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekiranya tiada tindakan drastik diambil dengan segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan sembilan tindakan strategik Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun mulai tahun ini hingga 2030.

Beliau berkata, antara pendekatan itu termasuk mengukuhkan usaha menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya melalui rondaan penguatkuasaan dan pengawalan 'boots on the ground' serta pemeliharaan dan pemuliharaan habitat semula jadi spesis berkenaan.

DR WAN Junaidi ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
DR WAN Junaidi ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA

"... (juga) meningkatkan tadbir urus baik keberkesanan dalam melaksanakan konservasi Harimau Malaya melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya, Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai 'centre of excellence' bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan seterusnya adalah memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui penyediaan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian sebagai mewakili Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dijangkiti Covid-19, bagi menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) mengenai usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan Harimau Malaya yang menjadi spesies ikonik negara tidak pupus.

Wan Junanidi berkata, selain itu, kerajaan juga mewujudkan kerjasama dengan zoo dan universiti supaya kelangsungan hidup Harimau Malaya dapat dipanjangkan, dengan menyimpan spesis itu di negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Singapura seperti Tapir sebelum ini.

Penyelidikan terperinci juga dijalankan supaya 'inbreeding' Harimau Malaya di kawasan jagaan boleh dilaksanakan sementara merancang mewujudkan pusat konservasi Harimau Malaya untuk menempatkan harimau yang dijumpai sebelum dilepaskan.

Beliau berkata, kerajaan juga melanjutkan moratorium larangan memburu rusa dan kijang yang tamat pada bulan ini kerana ia adalah sumber makanan utama Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 1:48 PM