FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang anak tergamak menikam ibunya dalam kejadian di FELDA Raja Alias Satu pada jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata dalam kejadian itu, mangsa berusia 48 tahun mengalami kecederaan di belakang badan.

Menurutnya, sebelum mangsa ditikam, berlaku pergaduhan membabitkan mangsa dan suspek di ruang tamu rumah berkenaan

"Suspek datang bersama datuknya (ayah mangsa) untuk berjumpa ibunya kerana mahu menziarahi adik bongsunya yang tinggal bersama wanita itu

"Datuk suspek kemudian keluar dari rumah manakala suspek berada di dalam rumah sebelum lelaki itu terdengar jeritan daripada mangsa.

"Ayah mangsa kemudian melihat ada darah pada bahagian belakang badan mangsa manakala suspek merampas kunci kereta daripada datuknya sebelum melarikan diri,' katanya.

Hoo berkata mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jempol bagi mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan kesan luka sedalam 2.5 sentimeter.

Katanya mangsa turut ditahan wad bagi rawatan lanjut dan polis masih menyiasat motif kejadian dan senjata yang digunakan untuk menikam mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya

Hoo berkata suspek kemudian berjaya ditangkap oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Jempol pada jam 12.30 tengah malam tadi di Kajang, Selangor

Katanya suspek yang tidak memiliki rekod jenayah itu direman sehingga Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:04 PM