LAPORAN Harian Metro terdahulu.
LAPORAN Harian Metro terdahulu.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Dua pengunjung Taman Eko Rimba Lata Bayu, Baling yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital, di sini akibat dijangkiti kencing tikus dilaporkan stabil.

Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mansor Zakaria berkata, setakat ini pihaknya tidak dimaklum mengenai mangsa terbaharu kes itu.

Beliau bagaimanapun meminta pengunjung kawasan rekreasi itu yang mempunyai simptom agar segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak berkunjung ke Lata Bayu yang kini ditutup sementara waktu sejak 17 Jun lalu, hingga tarikh dimaklumkan kelak," katanya ketika dihubungi.

Mansor berkata, sampel air di kawasan terbabit sudah diambil Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKN) semalam untuk siasatan lanjut.

"Buat masa ini, tiada laporan kencing tikus di kawasan lain," katanya.

Semalam media melaporkan Taman Eko Rimba Lata Bayu di Baling ditutup sementara selepas dua pengunjung disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus selepas berkunjung ke pusat peranginan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 3:44 PM