Pasukan bomba mengangkat mayat ke kenderaan PDRM untuk tindakan lanjut. Foto PGO Sarawak
Pasukan bomba mengangkat mayat ke kenderaan PDRM untuk tindakan lanjut. Foto PGO Sarawak
Oleh Erika George


Belaga: Mayat terakhir mangsa bot panjang yang karam di kawasan Jeram Long Menjawah Sungai Rejang ditemui mati terapung oleh orang awam awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa kedua dan terakhir itu yang dikenali sebagai Rhuban Apparoo, 30, ditemukan terapung pada jarak 18 meter dari lokasi bot terbabit karam pada jam 8.22 pagi.

"Mayat dibawa ke Jeti Belaga sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Dengan penemuan mayat mangsa yang terakhir ini sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat pada hari ketiga pada jam 10 pagi," katanya.

Mangsa pertama, Balavishnu Permaloo, 36, ditemukan dijumpai orang awam terapung di tengah sungai pada jarak 50 meter dari lokasi bot karam.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 4 petang Ahad lalu, empat rakan sekerja dikatakan sedang bersiar-siar dengan bot panjang yang disewa dikendalikan seorang jurumudi tempatan.

Bagaimanapun bot terbabit karam akibat dipukul ombak kuat jeram menyebabkan kedua-dua mangsa yang berasal dari Padang Serai Kedah hanyut dibawa arus deras.

Dua lagi rakan mangsa dan jurumudi terbabit dilaporkan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 1:02 PM