Ramli Mohamed Yoosuf ketika sidang media mengenai jenayah penipuan atas talian yang semakin meningkat, di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ. FOTO EIZAIARI SHAMSUDIN
Ramli Mohamed Yoosuf ketika sidang media mengenai jenayah penipuan atas talian yang semakin meningkat, di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ. FOTO EIZAIARI SHAMSUDIN
Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sudah membuka 85 kertas siasatan membabitkan skim penipuan pelaburan Yomaex dengan jumlah kerugian keseluruhan RM55,795,343.48.

Pada masa sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya turut menahan 45 individu yang terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan terbabit.

"Terkini, kami menahan empat lelaki berusia 37 hingga 63 tahun baru-baru ini, yang mana tiga daripada suspek berperanan sebagai pengarah syarikat manakala seorang lagi pencari akaun keldai.

"Siasatan kes ini masih diteruskan dan kami sedang mengenal-pasti suspek lain," katanya pada sidang media di pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ramli dilaporkan berkata, skim penipuan pelaburan Yomaex menawarkan pelaburan berasaskan mata wang kripto dengan keuntungan tinggi dalam masa singkat.

"Setiap pelabur yang menyertai skim itu akan diberikan akses untuk memantau urus niaga yang dilakukan melalui sistem yang dikendalikan pihak syarikat.

"Polis mengesan sebanyak 63 akaun bank yang dipercayai didaftarkan semata-mata operasi sindiket itu, membabitkan 32 syarikat dan 19 perniagaan," katanya.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata, 41 kes berkaitan penipuan pelaburan CCF Trade dan EXGCOO 2023 membabitkan kerugian RM8.05 juta sedang disiasat pihaknya.

"Hasil siasatan, sindiket menawarkan skim pelaburan itu melalui laman sosial.

"Skim pelaburan yang ditawarkan berasaskan transaksi jual beli saham di Malaysia serta pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat dan Hong Kong.

"Pelabur yang berminat akan diminta untuk memuat turun aplikasi bagi tujuan pelaburan, mangsa akan melihat akaun mereka menjana keuntungan, namun keuntungan itu tidak dapat dikeluarkan," katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, mangsa skim pelaburan terbabit berusia 29 hingga 79 tahun dengan majoritinya adalah pesara serta ahli perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 3:17 PM