GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pengusaha bas ekspres merayu kepada kerajaan supaya penyediaan kuota tambahan subsidi diesel dapat dilulus dan dipercepatkan pelaksanaannya demi menjamin kesinambungan industri bas ekspres.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berkata, melalui sesi libat urus dijalankan bersama Kementerian Kewangan, pihaknya mencadangkan agar kerajaan menambah kuota sedia ada daripada 2,880 liter kepada 10,000 liter sebulan untuk bas ekspres.

"Ini disebabkan kuota diesel sedia ada sememangnya tidak mencukupi. Buat masa sekarang, kerajaan membenarkan kuota diesel ditambah 50 peratus buat sementara untuk bas ekspres yang melayakkan pengusaha bas ekspres mendapat kuota sebanyak 4,320 liter sebulan sementara menunggu keputusan penuh penambahan kuota subsidi diesel.

"Sekiranya masalah kuota yang tidak mencukupi ini berlanjutan, lebih ramai pengusaha yang akan lumpuh dan terkubur begitu sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini dilaporkan berkata, harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter mulai Isnin lalu.

Amir Hamzah berkata, dengan mekanisme bantuan bersasar yang tersedia, kerajaan kini sudah bersedia untuk melaraskan harga diesel bagi semua negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut, Laili berkata, walaupun pengusaha bas ekspres tersenarai sebagai penerima subsidi diesel dengan kuota dibenarkan 2,880 liter pada harga RM1.88 seliter, ia masih lagi tidak memadai.

"Ia masih tidak memadai bagi pengusaha bas ekspres kerana kadar penggunaan diesel bagi sesebuah bas ekspres adalah antara 8,000 liter ke 10,000 liter sebulan.

"Pengusaha terpaksa membayar lebihan penggunaan diesel yang tidak termasuk dalam kuota subsidi pada kadar harga RM3.35 seliter berbanding RM2.15 seliter sebelum ini.

"Satu peningkatan yang amat ketara sebanyak 55 peratus dan pengusaha perlu memperuntukkan modal tambahan dengan jumlah yang besar untuk tujuan tersebut," katanya.

Menurutnya, peningkatan harga diesel RM3.35 seliter akan menyebabkan pengusaha berhadapan masalah ketidakcukupan had kredit untuk pembelian diesel.

"Pengusaha terpaksa mencari dan menambah modal had kredit untuk membolehkan pembelian diesel. Ada juga dalam kalangan pengusaha yang telah mengurangkan trip operasi kerana buntu untuk mencari modal tambahan dan risau berhadapan masalah kekurangan had kredit," katanya.

Selain itu katanya, pengusaha bas ekspres kini turut dibelenggu kebimbangan untuk menghadapi Hari Raya Aidiladha kerana khuatir dengan ketidakcukupan had kredit bagi pembelian diesel.

"Ia akhirnya menyebabkan pengusaha berkemungkinan tidak dapat meneruskan perkhidmatan bas ekspres sebagaimana kebiasaan, walaupun tiket telah habis dijual sekali gus akan mengakibatkan penumpang terkandas di terminal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:19 PM