Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan Budi Madani yang pertama esok.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan, bantuan ini tiada tarikh tutup dan menyeru mereka yang berkelayakan, sama ada bagi Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi untuk memohon bantuan ini.

Menurutnya, semakan dan rayuan boleh juga dilakukan di laman sesawang yang sama.

"Keputusan mengenai penyasaran subsidi diesel bukanlah satu langkah mudah untuk diambil.

"Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan kementerian serta agensi kerajaan berkaitan, tidak terburu-buru, malah memberi perhatian khusus untuk mengkaji dan memastikan mekanisme terbaik bagi melindungi sektor dan individu yang layak dibantu supaya kegiatan ekonomi tidak terganggu," katanya pada sidang media Penyasaran Subsidi Diesel di Kementerian Kewangan hari ini.

Amir Hamzah berkata, mekanisme penyasaran subsidi diesel di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu Sistem Kawalan Diesel bersubsidi atau SKDS khusus untuk sektor pengangkutan dan logistik.

"SKDS 1.0 untuk pengangkutan awam, bas sekolah, bas henti-henti, bas ekspres, ambulans, bomba dan van jenazah.

"Sementara, SKDS 2.0 untuk pengangkutan logistik terutamanya bagi barangan keperluan harian," katanya.

Beliau berkata, di bawah SKDS 2.0 penyasaran subsidi juga diperluaskan kepada 23 jenis kenderaan diesel termasuk kenderaan yang mengangkut hasil pertanian, buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Jenis kenderaan ini diberikan Fleet Card untuk mendapat diesel yang bersubsidi.

"Kementerian Kewangan juga membuka permohonan bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif Budi Madani sebagai langkah untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak dan mengurangkan beban golongan yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 6:16 PM