Petugas Tabung Haji, Zulkarnain Idris sedang menyantuni 2 jemaah warga emas selepas mengingatkan mereka waktu makan ubat sewaktu wukuf di Arafah. FOTO Husain Jahit
Petugas Tabung Haji, Zulkarnain Idris sedang menyantuni 2 jemaah warga emas selepas mengingatkan mereka waktu makan ubat sewaktu wukuf di Arafah. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Komitmen berterusan untuk menyantuni duyufurrahman yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji bermula dari Malaysia hingga ke Tanah Suci haruslah diberikan penghargaan oleh semua pihak yang terbabit sama ada di Malaysia atau Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar berkata, pihaknya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua jemaah haji Malaysia yang sentiasa mengekalkan disiplin mereka sepanjang berada di Tanah Suci.

"Walaupun ada sedikit cabaran semasa di Masyair, jemaah haji kita cukup bersabar dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas haji," katanya.

"Barisan petugas haji Malaysia yang bekerja tidak mengira hari, berkorban masa dan tenaga, meninggalkan keluarga tersayang untuk menyantuni duyufurrahman inilah yang kita gelar 'wira yang tidak didendang' atau istilah bahasa Inggeris-nya 'unsung heroes',"

"Untuk itu, saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas atas komitmen petugas haji. Semoga Allah memberikan ganjaran berlipat ganda dan mengurniakan kalian dengan haji mabrur," katanya kepada Petugas Media TH, di sini kelmarin.

Sementara itu, bagi meraih haji yang mabrur, jemaah haji terlebih dahulu akan melalui pelbagai suasana dan keadaan yang kadang kala memberi kesan kepada keselesaan, kerehatan di samping cuaca yang melampau semasa melaksanakan ibadat haji.

"Antara kelebihan yang akan diperoleh oleh tetamu Allah dalam mengharungi cabaran pelaksanaan ibadah haji ini antaranya akan tersemai sifat syukur. Oleh itu, cabaran suasana begini perlu dihadapi dengan penuh timbang rasa."

"Ibadat haji yang dilakukan seharusnya menjadi pengubah keperibadian sehingga boleh mencapai redha Allah serta mampu menjadi teladan yang baik kepada keluarga dan masyarakat Islam setempat. Perubahan yang kita bawa pulang moga dapat menjadi pemangkin kemajuan dan kegemilangan umat Islam di Malaysia," katanya.

Tambahnya, baru sahaja Arafah meninggalkan kita. Pengalaman haji pastinya akan terus melekat dalam jiwa setiap duyufurrahman yang selesai menunaikan haji. Semua pastinya berharap supaya dikurniakan haji mabrur kerana itulah matlamat utama setiap Muslim yang menunaikan haji.

Sebelum selesai keberangkatan pulang jemaah haji, pihak Tabung Haji akan mengadakan mesyuarat penutupan dengan pelbagai Kementerian dan agensi penyedia perkhidmatan haji di Arab Saudi bagi menilai semula tahap perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan bagi Musim Haji 1445H ini.

"Saya turut dimaklumkan bahawa Tabung Haji akan mengadakan bengkel bedah siasat atau 'post mortem' bagi menilai secara terperinci mengenai perjalanan musim haji tahun ini serta ruang untuk penambahbaikan.

Beliau yakin TH akan terus mempertingkatkan perkhidmatan dan menambahbaik segala langkah kerja demi kesejahteraan jemaah haji Malaysia pada tahun-tahun mendatang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 8:25 AM