PENGETUA  SMK Tanjung Adang dan guru Matematik, Zulkifli Md Pungut bersama sijil SPM miliknya. FOTO Ihsan Zulkifli Md Pungut
PENGETUA SMK Tanjung Adang dan guru Matematik, Zulkifli Md Pungut bersama sijil SPM miliknya. FOTO Ihsan Zulkifli Md Pungut
Redzuan Muharam


Johor Bahru: Bukan hanya pelajar, malah pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang, Zulkifli Md Pungut di sini, juga meraikan kejayaan selepas mendapat gred A dalam subjek Matematik bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Lebih manis lagi apabila Zulkifli, 54, yang juga guru Matematik mengekalkan kecemerlangannya itu selepas lebih 20 kali menjadi calon SPM bagi kertas Matematik yang diduduki sejak 2011.

Menurut Zulkifli, dia bersyukur dengan keputusan diperoleh kerana secara tidak langsung membuktikan formula Matematik yang diciptanya berkesan.

Ditanya rahsianya mendapat keputusan cemerlang yang konsisten, Zulkifli berkata, peluang belajar dan berkongsi ilmu dengan pelajar ketika mengajar memberi kelebihan untuknya memantapkan penguasaan subjek Matematik.

"Apabila belajar dan mengajar, 90 peratus kita jadi mudah faham.

"Berbanding baca buku sendiri, hanya 20 ke 30 peratus saja...jadi apa saya lakukan adalah konsisten mengajar dan belajar.

"Waktu mengajar di dalam kelas pun saya belajar sebenarnya, jadi itu memang membantu saya ketika menjawab soalan dalam dewan peperiksaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Selain menguji formula dicipta, Zulkifli mengakui niatnya menduduki semula kertas Matematik SPM adalah memberi semangat kepada pelajar yang pernah gagal dalam subjek itu supaya bangkit daripada kekecewaan dengan mengikut jejak langkahnya.

Zulkifli berkata, dia juga mahu mengubah persepsi segelintir individu yang menganggap mereka yang menduduki semula SPM adalah lemah dan tidak pandai dalam pelajaran.

"Saya duduki semula peperiksaan kerana nak yakinkan pelajar khususnya yang ada pemikiran Matematik susah, saya percaya mereka boleh lakukannya macam saya.

"Memang ada pelajar yang kata saya boleh buat (dapat keputusan cemerlang) kerana saya guru Matematik sedangkan saya tak ikuti kelas secara formal seperti mereka malah terikat dengan komitmen kerja.

"Walaupun guru, saya pun tak kebal malah kena ikut peraturan peperiksaan sama seperti pelajar jadi bezanya adalah bagaimana pengurusan masa setiap calon dan teknik mereka jawab soalan.

"Ia kerana bukan semua soalan sukar kerana ada soalan beraras rendah dan macam saya sendiri akan jawab mana yang mudah dahulu," katanya.

Ditanya sama ada dia akan mengikuti lagi peperiksaan SPM akan datang, Zulkifli tidak menolak kemungkinan itu kerana masih ada semangat untuk itu.

"Saya seronok kerana cipta bermacam formula jadi peperiksaan adalah medan untuk menguji keberkesanannya dengan saya sendiri jadi testimoninya.

"Keputusan pun bergantung kepada pemeriksa dan andai kata dapat gred rendah, saya reda serta akan cipta formula lebih baik untuk digunakan oleh pelajar.

"Ia kerana kalau saya gagal aplikasikan formula itu, adakah wajar pelajar ikut apa saya ajar?," katanya.

Menurut rekod, Zulkifli memperoleh gred A dan A+ dalam subjek Matematik sepanjang menduduki semula SPM kertas itu sejak 13 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 3:22 PM