Oleh Rosli Ilham


Kemaman: Dua lelaki membuat pengakuan tidak bersalah atas tiga tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini.

Tertuduh, Zainal Abidin Mohd Ghafar,39, dan Ahmad Rifdi A Rahman,25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata ke atas seorang lelaki berusia 20 tahun di sebuah kedai serbaneka di Bandar Chukai, kira-kira jam 1.30 pagi, pada 2 Februari lalu.

Tertuduh kemudian melarikan sebuah telefon bimbit, modem Wifi milik syarikat, wang tunai milik kedai terbabit berjumlah kira-kira RM7,000, dua kotak rokok, beg galas milik mangsa yang mengandungi kad bank, kunci rumah dan kereta serta wang tunai kira-kira RM250.

Mereka juga didakwa melakukan jenayah sama terhadap lelaki berusia 35 tahun pada tarikh, masa dan lokasi yang sama dengan merompak wang tunai bernilai RM300, sebuah telefon bimbit dan beg silang mengandungi lesen memandu, kad pengenalan dan kad bank.

Bagi satu lagi pertuduhan, kedua-dua tertuduh juga didakwa merompak seorang lagi lelaki berusia 19 tahun dengan melarikan dua telefon bimbit, wang tunai kira-kira RM800 dan beg silang mengandungi kad pengenalan dan kad bank pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Kes berkenaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurhanisah S H Sahul Hamid dan tertuduh diwakili peguam Rozilawati Mat Hassan.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 395, Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397, kanun yang sama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dan menetapkan 28 Mac ini sebagai tarikh serahan dokumen.

Mahkamah turut mensyaratkan kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 5:01 PM
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini. Foto Rosli Ilham
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini. Foto Rosli Ilham