MAIPs melonggarkan syarat untuk tidak mewajibkan jemaah memakai pelitup muka di masjid dan surau berkuat kuasa serta-merta. FOTO Arkib NSTP
MAIPs melonggarkan syarat untuk tidak mewajibkan jemaah memakai pelitup muka di masjid dan surau berkuat kuasa serta-merta. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kangar: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melonggarkan syarat untuk tidak mewajibkan jemaah memakai pelitup muka di masjid dan surau berkuat kuasa serta-merta.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah bagaimanapun, pemakaiannya masih digalakkan bagi mereka yang bergejala dan mengalami risiko dijangkiti.

"(Arahan) ini selaras dengan perkembangan terkini seperti yang dimaklumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan pandemik Covid-19 yang berpotensi mereda pada tahun ini sehingga suatu tahap menular seperti selesema.

"Ia juga selari dengan penurunan kes dan kadar vaksinasi dan pengumuman kelonggaran SOP (prosedur operasi standard) pemakaian pelitup muka yang telah diumumkan pihak Kementerian Kesihatan berkuat kuasa 5 Julai 2023," titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan MAIPs, hari ini.

Menurut kenyataan sama, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid menzahirkan penghargaan kepada rakyat di negeri itu kerana sentiasa memberikan kerjasama kepada MAIPs dan agensi-agensi bersamanya dalam membantu mengekang penularan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 9:52 AM