TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Tengku Fauziah berkenan menerima menghadap  Muhyiddin dan Noorainee. FOTO Bernama
TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Tengku Fauziah berkenan menerima menghadap Muhyiddin dan Noorainee. FOTO Bernama
BERNAMA

Arau: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Istana Arau, di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir pada majlis sembah menghadap itu adalah anakanda baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Dalam pertemuan itu Muhyiddin mempersembah maklumkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan, ekonomi serta perkembangan terkini negara terutamanya berkaitan penularan wabak Covid-19 dan program vaksinasi kebangsaan yang sedang dijalankan.

Perdana menteri kemudiannya mengiringi Raja Perlis dan Raja Muda Perlis untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Arau di sini.

Usai solat Jumaat, Muhyiddin yang dalam lawatan kerja sehari ke Perlis, dijadual melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Kampung Gial, Kangar, sebelum pulang ke ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 2:59 PM