TUANKU Syed Sirajuddin berkenan bertitah pada Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Dewan & Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama DUN Perlis ke-14 sambil diiringi Tuanku Tengku Fauziah, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen. FOTO Azhar Ramli
TUANKU Syed Sirajuddin berkenan bertitah pada Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Dewan & Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama DUN Perlis ke-14 sambil diiringi Tuanku Tengku Fauziah, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen. FOTO Azhar Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis diingatkan mengamalkan politik tenteram bagi menjamin kelancaran program pembangunan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, suasana politik tenteram perlu bagi memastikan kerajaan negeri sentiasa berada dalam keadaan stabil bagi membolehkan program pembangunan dilaksanakan secara berkesan.

Titahnya, perubahan landskap politik Malaysia menyebabkan Perlis kini menjadi negeri pembangkang dan menyebabkan agenda pembangunan menjadi agak mencabar.

“Tidak dinafikan cabaran untuk membangunkan Perlis adalah lebih sukar, ditambah lagi kebergantungan kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat dari segi peruntukan perbelanjaan operasi dan pembangunan.

“Oleh itu, kerajaan negeri dan setiap wakil rakyat harus berusaha mewujudkan hubungan baik dengan kerajaan Pusat untuk memudahkan urusan berkaitan pembangunan. Kepentingan rakyat wajib diutamakan, bukannya kepentingan politik dan berpolitik setiap masa,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-14 di Kangar, hari ini.

Tuanku Syed Sirajuddin juga mengingatkan wakil rakyat supaya memainkan peranan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab kepada negeri dan rakyat supaya pembangunan dapat dipercepatkan.

Baginda bertitah, semua ADUN perlu berganding bahu bersama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, dalam usaha mentadbir dan membangunkan negeri bagi mencapai wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030.

“Dari segi pembangunan kita harus mengkui Perlis agak terkebelakang berbanding negeri lain. Kita bergerak terlalu perlahan seolah-olah peranan memajukan negeri bukan keutamaan dan tanggungjawab bersama.

“Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini tetapi diri kita sendiri. Beta ingin berpesan jalankan tanggungjawab dan amanah masing-masing kepada negeri dan rakyat supaya pembangunan dipercepatkan,” titahnya.

Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 1:18 PM