ANTARA lelaki yang cedera selepas terbabit dalam pergaduhan di Cheras.
ANTARA lelaki yang cedera selepas terbabit dalam pergaduhan di Cheras.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua lelaki cedera selepas terbabit dalam pergaduhan dipercayai akibat mengganggu isteri orang di Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 4 pagi.

"Pergaduhan berlaku dipercayai akibat salah seorang suspek cuba mengganggu isterinya.

"Kedua-dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun cedera kerana ditetak menggunakan parang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan itu, pada 7.30 malam hari sama sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan seorang wanita.

"Wanita berusia 39 tahun dipercayai bersubahat dengan suspek utama dalam kes ini. Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.

"Orang ramai yang mempunyai berhubung suspek serta kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 2:05 PM