GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki yang terbabit dalam kekecohan selepas aksi perlawanan bola sepak di perkarangan Stadium Cheras tengah malam tadi.

Lelaki berusia 21 dan 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Idzam Jaafar berkata, kejadian berlaku pada 12.30 tengah malam apabila sepasukan polis yang sedang bertugas bagi perlawanan Kuala Lumpur City dan Selangor FC mendapati beberapa penyokong pasukan itu bergaduh antara satu sama lain.

Menurutnya, polis cuba untuk meleraikan keadaan yang sedang kecoh dan mengarahkan semua suspek untuk beredar namun kedua-dua lelaki itu mengendahkan arahan terbabit.

"Susulan itu, pihak polis menahan kedua-dua suspek kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Suspek ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan, Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Idzam berkata, pihaknya mendapat perintah reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin untuk melengkapkan siasatan.

"Pihak Polis Cheras memberi amaran keras agar orang ramai tidak terbabit dengan apa-apa kegiatan yang melanggar undang-undang dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan kekecohan berlaku di luar stadium itu dipercayai selepas perlawanan membabitkan Kuala Lumpur City dan Selangor FC.

Sekumpulan penyokong kedua-dua pasukan dilihat berselisih faham selain membaling mercun api.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 2:47 PM