TANGKAP layar video tular lelaki mencuri telefon bimbit pekerja kedai runcit ditahan orang ramai yang berada di lokasi kejadian di Pekan Sungai Besi.
TANGKAP layar video tular lelaki mencuri telefon bimbit pekerja kedai runcit ditahan orang ramai yang berada di lokasi kejadian di Pekan Sungai Besi.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Lelaki yang disyaki mencuri telefon bimbit milik pekerja sebuah kedai runcit di Pekan Sungai Besi di sini, seperti tular di media sosial ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, suspek berusia 39 tahun terbabit ditahan di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kejadian berlaku 10.45 malam ketika suspek ke kedai runcit berkenaan untuk membeli barang.

"Semasa pekerja pergi mendapatkan barang yang diminta, suspek melarikan telefon bimbit yang sedang dicaj di atas meja.

"Ketika melarikan diri, suspek terjatuh dan berjaya ditahan orang awam yang berada di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zam Halim berkata, polis yang menerima maklumat ke lokasi kejadian dan menahan suspek.

Katanya, suspek direman tiga hari bermula semalam sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu untuk menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 4:49 PM