MOHD Nadzri (kanan) memeriksa  kenderaan mikromobiliti yang dirampas di Pejabat JKDM Terengganu hari ini. FOTO Ghazali Kori
MOHD Nadzri (kanan) memeriksa kenderaan mikromobiliti yang dirampas di Pejabat JKDM Terengganu hari ini. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu melumpuhkan sindiket pengedaran kenderaan mikromoboliti seludup membabitkan rampasan termasuk cukai bernilai hampir RM710,000.

Dalam serbuan kira-kira 11 pagi Khamis lalu, JKDM Terengganu merampas 147 unit kenderaan mikromoboliti di dua premis di daerah ini.

Pengarah Kastam Negeri Terengganu Mohd Nadzri Ariffin berkata, serbuan serentak itu dilakukan pasukan operasi bahagian penguatkuasaan hasil maklumat dan risikan dijalankan pihaknya.

Beliau berkata, dua premis berkenaan disyaki memiliki barangan larangan import iaitu kenderaan mikromoboliti seperti moped bike, basikal kuasa elektrik dan personal mobility device kuasa elektrik.

Katanya, semakan awal terhadap dokumen pembelian dan pengimportan yang dikemukakan ketika serbuan mendapati ia diseludup masuk ke dalam negara tanpa permit.

"Hasil serbuan di lokasi pertama, sebanyak 130 unit kenderaan mikromoboliti yang dianggarkan bernilai RM346,200 dan membabitkan cukai sebanyak RM252,726 disita.

"Kita turut menyita 17 kenderaan mikromoboliti yang dianggarkan bernilai RM64,088 yang membabitkan cukai RM45,068.60 dengan rampasan keseluruhan termasuk cukai bernilai RM708,082.60.

"Selain itu, kita turut menahan dua pemilik premis masing-masing berusia 39 dan 37 tahun untuk siasatan lanjut dan dibebaskan dengan jaminan JKDM," katanya pada sidang media di pejabat JKDM Terengganu di sini hari ini.

Mohd Nadzri berkata, siasatan mendapati pihak sindiketakan membawa masuk kenderaan mikromoboliti secara komponen terlerai ke dalam negara dengan melakukan ikrar palsu ketika proses pengimportan.

Katanya, komponen-komponen itu akan dipasang di gudang-gudang di Pantai Barat sebelum diedarkan kepada penjual-penjual di seluruh negara.

"Pihak sindiket mengemukakan kelulusan permit import terhadap penghantaran pada 2021 yang pernah dibawa masuk bagi tujuan meyakinkan pembeli akhir.

"Kenderaan mikromoboliti dikategorikan sebagai barangan larangan import di bawah Item No 7, Bahagian 11, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Mohd Nadzri berkata, kerjasama orang ramai dialu-alukan dalam membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuma keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain barang tak berkastam.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan yang bukan hanya boleh merugikan negara daripada segi ketirisan hasıl tetapi turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 5:02 PM