ANTARA rokok yang dirampas. FOTO ihsan JKDM
ANTARA rokok yang dirampas. FOTO ihsan JKDM
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas rokok putih, minuman keras, daging haiwan sejuk beku yang diseludup bernilai RM38.58 juta menerusi beberapa serbuan, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam,

Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad berkata, serbuan itu membabitkan beberapa lokasi di Pelabuhan Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan.

"Keseluruhan rampasan membabitkan anggaran nilai RM5,002.565.60 serta duti/cukai sebanyak RM33,587,357.90," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi kes rokok putih, pasukan JKDM Unit II, Zon Tengah membuat serbuan di Pelabuhan Klang dan Taman Ideal Township, Seremban.

"Kes pertama pada 14 Julai dan 28 Julai membabitkan empat kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang yang dikesan melalui mesin pengimbas.

"Hasil pemeriksaan mendapati kontena itu bermuatan rokok putih yang disyaki tidak mempunyai lesen import sah semasa dagangan diimport.

"Kes kedua pada 8 Ogos, berdasarkan maklumat awam, pasukan menahan lori yang diparkir kerana disyaki memuatkan barang larangan.

"Pemeriksaan fizikal ke atas lori mendapati, sejumlah rokok putih disyaki barang larangan. Lori dan muatan dibawa balik ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, rokok putih yang dirampas adalah barang larangan di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Kuantiti rampasan sebanyak 42,060,000 batang rokok bernilai RM3,364,800 dan jumlah duti/cukai sebanyak RM28,733,520," katanya.

Sementara itu katanya, kuantiti minuman keras yang dirampas sebanyak 113,698.92 liter dengan nilai RM941,265.60 dan jumlah duti/cukai sebanyak RM4,853,837.90.

"Minuman keras yang ditahan merupakan barang larangan di bawah Butiran 3, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," katanya.

Bagi kes daging sejuk beku pula, pasukannya melakukan pemeriksaan ke atas treler yang ditinggalkan di Kawasan Perindustrian PKNS Pandamaran, Pelabuhan Klang.

"Lori terbabit bermuatan 'frozen beef lungs' (daging paru-paru sejuk beku) dan lori itu gagal mengemukakan apa-apa dokumen pengimportan bagi menunjukkan dagangan dibawa masuk secara sah ke Malaysia.

"Lori dengan muatan organ haiwan sejuk beku ditahan untuk siasatan lanjut, dagangan yang dirampas dianggarkan sebanyak 27,860 kilogram dan bernilai RM696,500.

"Rampasan adalah barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga, Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," katanya.

Mohammad Sabri berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 12:46 PM