AHMAD Zahid, Fadhlina dan Wan Rosdy bersama penerima anugerah sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53. FOTO ihsan BSN
AHMAD Zahid, Fadhlina dan Wan Rosdy bersama penerima anugerah sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53. FOTO ihsan BSN
Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kuantan: Bank Simpanan Nasional (BSN) menaja RM420,000 kepada pendidik negara melalui 31 kategori anugerah sempena program Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, Kuantan, baru-baru ini.

Program itu meraikan 29 kategori dan dua anugerah utama iaitu 'Tokoh Guru Kebangsaan' dan 'Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan serta satu tajaan anugerah khas peringkat negeri untuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Program bertemakan "Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani" itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, program itu adalah simbol penghargaan mereka atas jasa guru yang tidak ternilai kepada masyarakat yang progresif dan berpengetahuan.

"Dalam usaha kami untuk terus memperkasa kemajuan negara, 'Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani' adalah konsep inspirasi untuk memacu inovasi dalam pendidikan, memupuk celik digital dan melahirkan generasi pemikir yang unggul.

"Guru adalah tunjang meningkatkan kualiti pendidikan dan memastikan setiap pelajar dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam dunia yang pesat berkembang," katanya dalam kenyataan media.

Dalam pada itu, Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2024 dianugerahkan kepada Masariah Mispari yang banyak berjasa dalam perkhidmatannya dalam bidang pendidikan dalam dan luar negara, serta Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2024 pula, dianugerahkan kepada bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Sulaiman Wak.

Sementara itu, BSN turut melancarkan jalinan kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai Rakan DELIMa dalam menyiarkan e-Modul Celik Kewangan Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 4:42 PM