Khuzaimah (dua dari kanan) menunjukkan anugerah yang diterima kepada suami, Abdul Rahman Bulang dan ahli keluarga. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Khuzaimah (dua dari kanan) menunjukkan anugerah yang diterima kepada suami, Abdul Rahman Bulang dan ahli keluarga. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Mohd Sabran Md Sani


TOKOH Guru Negeri Sembilan 2014, Khuzaiman Sulaiman, 66, dianugerahkan Tokoh Guru Kebangsaan 2017 sempena Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-46 di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor pagi ini.

Anugerah disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Khuzaimah yang dilahirkan di Kampung Bukit Tempurung, Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan memulakan perkhidmatan sebagai guru mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam pada 1 Jun 1976 sehingga bersara wajib sebagai Pengetua cemerlang Gred JUSA C pada 15 Mac 2007 di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau turut pernah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang 1992 dan 2000, Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat 2002.

Khuzaimah membawa pulang wang tunai RM55,000, loket emas, plak, sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN) dan sijil penghargaan.

Turut menerima pengiktirafan Tokoh Kepimpinan Pendidikan, Datuk Sufa'at Tumin yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran pada tahun 2011.

Beliau membawa pulang wang tunai RM53,000, sijil simpanan premium BSN, rantai dan loket emas, plak dan sijil.

Manakala Ikon Guru Inovatif Kebangsaan dianugerahkan kepada Zainuddin Zakaria berikutan tanggungjawab dalam mendidik dan mengasuh generasi muda hingga dikurniakan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) oleh kerajaan pada 2016 memperoleh hadiah keseluruhan RM13,000.

Terdahulu kira-kira 3,000 warga pendidik memeriahkan sambutan yang disempurnakan Ahmad Zahid dan turut diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif.

Johor menjadi tuan rumah sambutan Hari Guru Ke-46 tahun ini yang bertemakan 'Guru Pembina Negara Bangsa'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 4:02 PM