ANWAR Ibrahim
ANWAR Ibrahim
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: "Kerja saya hampir saban minggu (turun padang) ke warung kecil dan pasar."

Begitu kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin supaya beliau ke pasar basah di ibu negara bagi meninjau kenaikan harga barang.

Perdana Menteri menyifatkan kenyataan Hamzah itu hanya cubaan untuk mengelak daripada menjawab soalannya mengenai mengapa Ahli Parlimen Larut itu sibuk mempertahankan golongan kaya dan orang luar susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar.

"Saya ke pasar tidak saban minggu, tapi warung kecil (setiap minggu) dan setiap kali sebelum Jumaat, saya tanya mengenai harga barang dan masalah mereka.

"Tapi saya ingat beliau nak elak daripada jawapan mengenai parti itu mendokong tauke-tauke kaya dan orang-orang asing, itu beliau belum jawab," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Era Pasca Normal Madani di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Semalam, Hamzah dalam kenyatan mencadangkan Anwar untuk turun ke pasar basah di sekitar ibu negara bagi meninjau kenaikan harga barang yang semakin menghimpit masyarakat.

Katanya, langkah itu perlu bagi melihat sendiri kenaikan harga barang yang berlaku kini dan akan terus meningkat jika rasionalisasi subsidi diesel diteruskan kerajaan.

Kelmarin, Perdana Menteri membidas Hamzah yang mengkritik rasionalisasi subsidi diesel yang diumumkan dengan menyifatkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu sibuk mempertahankan golongan kaya dan warga asing.

Perdana Menteri berkata, rasionalisasi subsidi diesel disasarkan kepada golongan kaya dan orang asing, manakala rakyat yang terkesan akan diberikan bantuan oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 4:41 PM