FAHMI pada majlis dialog bersama mahasiswa sempena Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Pustaka Negeri Sarawak di Petra Jaya, hari ini. FOTO Bernama.
FAHMI pada majlis dialog bersama mahasiswa sempena Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Pustaka Negeri Sarawak di Petra Jaya, hari ini. FOTO Bernama.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Komunikasi akan melancarkan chatbot baharu berkuasa AI di WhatsApp dalam usaha untuk memerangi penyebaran maklumat tidak sahih.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata,alat inovatif itu bertujuan untuk mengesahkan kesahihan maklumat yang dikongsi di platform itu yang digunakan secara meluas di seluruh negara.

Beliau berkata, pembangunan aplikasi WhatsApp atau chatbot yang akan dilancarkan tidak lama lagi itu akan membantu mengesahkan topik atau kandungan yang diedarkan.

"Pada masa ini ia berfungsi dengan teks tetapi saya sudah meminta ia juga harus mengendalikan video dan imej.

"Dengan menggunakan AI, kita akan dapat mengesahkan sama ada video itu sudah lama, sudah diambil tindakan atau apa sebenarnya kandungannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran program 'Jelajah Hawana Bersama Siswa 2024' yang diadakan sempena Hari Wartawan Negara (Hawana) di auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Menurut Fahmi, orang ramai yang berkongsi video daripada platform seperti Facebook atau TikTok di WhatsApp dan perlu mendapatkan pengesahan.

"Ini mungkin ciri masa depan tetapi pengesahan teks hampir sedia untuk dilancarkan segera.

"Kami melihat rakyat Malaysia sangat selesa dengan WhatsApp dan banyak maklumat salah disebarkan melalui platform itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 2:36 PM