ANTARA kenderaan yang terbabit dalam kejadian pokok tumbang berhampiran sebuah bank di Jalan Mahkota, Taman Maluri, hari ini. FOTO ihsan pembaca
ANTARA kenderaan yang terbabit dalam kejadian pokok tumbang berhampiran sebuah bank di Jalan Mahkota, Taman Maluri, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Enam individu cedera selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang berhampiran sebuah bank di Jalan Mahkota, Taman Maluri, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.07 petang tadi.

"Seramai 18 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dan BBP Bandar Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati terdapat empat kenderaan masing-masing sebuah BMW, Nissan, Perodua Myvi dan sebuah motosikal dihempap pokok akibat hujan lebat serta angin kencang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan empat sekeluarga yang menaiki Perodua Myvi mengalami kecederaan ringan serta trauma, manakala dua individu menaiki motosikal pula mengalami bengkak kaki dan luka.

"Semua mangsa berkenaan dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

"Anggota bomba bertugas memotong dan mengalihkan pokok terbabit bagi membuka laluan yang terhalang.

"Operasi itu turut dibantu oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 6:09 PM