KEADAAN pemandu yang tersepit. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN pemandu yang tersepit. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga emas cedera akibat tersepit selepas lori dipandunya dihempap pokok tumbang di Kilometer 16 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh arah Rawang, di Gombak, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa, P Muthusamy, 72, patah kaki kanan akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila pokok terbabit tiba-tiba tumbang dan menghempap kepala lori berkenaan.

“Pokok tumbang itu juga menyebabkan kedua-dua lorong menghala ke Rawang terhalang.

“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan dilaporkan patah kaki kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bomba dipanggil untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dan memotong pokok tumbang berkenaan yang menghalang laluan.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 9:52 PM