Kemulian hati Michael Tong Wai Siong, 55, (tiga dari kiri) lelaki berketurunan Cina yang menjaga tiga anak angkat lelaki berbangsa Melayu sejak kecil mendapat penghargaan apabila menerima anugerah Bapa Teladan 2024, semalam.
Kemulian hati Michael Tong Wai Siong, 55, (tiga dari kiri) lelaki berketurunan Cina yang menjaga tiga anak angkat lelaki berbangsa Melayu sejak kecil mendapat penghargaan apabila menerima anugerah Bapa Teladan 2024, semalam.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kemuliaan hati Michael Tong Wai Siong, 55, lelaki berketurunan Cina yang menjaga tiga anak angkat lelaki berbangsa Melayu sejak kecil mendapat penghargaan apabila menerima anugerah Bapa Teladan 2024, semalam.

Penghargaan itu diberikan Pertubuhan Bapa Hebat Malaysia sempena sambutan Hari Bapa tahun ini untuk menghargai pengorbanan Michael yang lebih dikenali sebagai Uncle Mike kerana menjaga tiga beradik yatim piatu, Rafie Ahmad Fauzi, 29, dan dua adiknya, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24.

Michael berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan menerima penghargaan itu dan menyifatkan apa dilakukan itu adalah ikhlas demi tiga beradik yang sudah dianggap seperti anak kandung sendiri meskipun tiada pertalian darah.

"Saya juga terkejut apabila dimaklumkan akan menerima anugerah itu namun berasa dihargai tetapi apa yang saya buat ini bukan untuk mendapatkan balasan atau penghargaan dan pujian tetapi ikhlas dari hati sendiri.

"Sebenarnya saya rasa segan juga kerana bagi saya ia perkara biasa membantu sesama manusia dan kasih sayang saya terhadap tiga beradik itu," katanya ketika dihubungi.

Menurut Michael, dia berharap orang ramai terus bersedia membantu sesiapa saja tanpa memandang perbezaan kaum dan agama kerana baginya kehidupan bermasyarakat di negara ini tiada batasan untuk saling membantu.

"Saya percaya orang lain juga boleh buat seperti apa yang saya buat dan sebenarnya kita juga memang sudah hidup saling membantu di negara ini. Dalam masa sama kita perlu hidup dalam harmoni dan saling menghormati," katanya.

Laporan muka depan Harian Metro sebelum ini menyiarkan kisah Michael yang menjaga Rafei, Rasyid dan Abdul Rahman sejak 16 tahun lalu yang dihantar ke rumah anak yatim selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.

Lelaki Tionghua berkenaan menyayangi tiga pemuda itu seperti anak sendiri biarpun tiada pertalian darah dan tidak saling mengenali sebelum ini, malah turut menyediakan kelas agama untuk mereka serta keluarganya juga menerima anak angkat dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 2:41 PM