MUHAMMAD Qayyim menerima sijil, RM7,500 dan tambahan RM10,000 bagi menunaikan haji. Hadiah disampaikan Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
MUHAMMAD Qayyim menerima sijil, RM7,500 dan tambahan RM10,000 bagi menunaikan haji. Hadiah disampaikan Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan


Melaka: Kesungguhan qari OKU dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, menyentuh hati ramai pada Tilawah dan Menghafaz al-Quran Kebangsaan 2017, di sini, berakhir malam tadi.

Selain Muhamamd Qayyim yang muncul di tempat ketiga pada tilawah kali ini, terdapat seorang lagi qari OKU iaitu Muhammad Fiqry Muhammad Fahmi dari Sabah.

Muhammad Qayyim menerima sijil, RM7,500 dan tambahan RM10,000 bagi menunaikan haji. Hadiah disampaikan Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha, memuji kesungguhan Muhammad Qayyim dan Muhammad Fiqry.

"Walaupun mereka mengalami kecacatan, namun ia bukan satu kekurangan bagi mereka apabila dapat mempersembahan bacaan dengan baik.

"Lazimnya orang biasa menguna mata untuk membaca al-Quran, tetapi mereka mengunakan tangan menyentuh tulisan braille untuk membaca," kata Othman.

Beliau menambah peserta OKU dihakimi bacaan mereka sama seperti peserta normal.

Sementara itu, qari Wilayah Persekutuan, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan qariah Negeri Sembilan, Normalina Alias muncul johan Tilawah dan Menghafaz al-Quran Kebangsaan 2017.

Wan Fakhrul Razi yang memperdengarkan bacaan surah Al-Baqarah memperoleh 89 mata manakala Normalina yang membaca surah At-Taubah mendapat 86.33 mata.

Kedua-dua mereka akan mewakili negara dalam Tilawah dan Menghafaz al-Quran Antarabangsa, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 15-20 Mei depan.

Qari Melaka, Azraie Datuk Abdul Hak muncul naib johan dengan mendapat 88.34 mata manakala Muhammad Qayyim Nizar di tempat ketiga (87 mata).

Bagi kategori qariah pula, peserta Selangor, Nur Ruzana Natiah Jaafar muncul naib johan dengan 84 mata diikuti Munirah Kasim dari Kelantan (83.68mata).

Kelantan dinobatkan juara keseluruhan bagi acara tilawah dengan 84.51 mata manakala Melaka juara keseluruhan acara hafazan dengan 96.47 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 1:24 AM