SULTAN Nazrin berkenan menyampaikan hadiah kepada Muhammad Qayyim pada Majlis Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63, malam ini. FOTO Saifullizan Tamadi.
SULTAN Nazrin berkenan menyampaikan hadiah kepada Muhammad Qayyim pada Majlis Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63, malam ini. FOTO Saifullizan Tamadi.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Qari Malaysia Muhammad Qayyim Nizar Sarimi muncul juara bagi kategori lelaki pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 dengan catatan markah 94.96 peratus.

Tempat kedua pula dimenangi Alireza Bizhaniavval dari Iran yang memperoleh 93.30 peratus, manakala Awang Mohd Zul-Hafiz Awang Tengah dari Brunei Darussalam di tempat ketiga dengan 90.38 peratus.

Bagi kategori qariah, peserta Maghribi Sara Belmamoun muncul johan dengan markah 93.05 peratus, tempat kedua Raudhah Supian Noor dari Indonesia dengan 92.21 peratus, manakala peserta Filipina, Sabaha Pato Salik di tempat ketiga dengan 91.50 peratus.

Bagi kategori hafazan lelaki, Omar Toure dari Guinea muncul johan dengan markah 98.63 peratus, diikuti Maamon Ahmed Raweh Mohammed dari Yaman dengan 97.38 peratus dan tempat ketiga Ali Attia dari Chad (97.07 peratus).

Peserta Algeria, Tebani Cheyma Enfal pula muncul johan bagi kategori hafazan wanita dengan markah 96.32 peratus, tempat kedua Ndeye Seynabou Ngom dari Senegal (95.25 peratus) dan ketiga Sidi El Moctar Khadijetou dari Mauritania (94.19 peratus).

Muhammad Qayyim, yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak lahir, berkata, beliau bersyukur kerana usahanya selama 16 tahun mendalami dan mempelajari skil bacaan al-Quran menggunakan naskhah Braille membuahkan hasil pada MTHQA kali ini.

"Perasaan saya gembira ada, sebak ada... bagi saya, kita kena ada minat dalam bidang tarannum, saya sarankan untuk kita semua belajar tarannum sebab ia boleh buat kita rasa seronok dan kita boleh bawa bacaan dalam solat," katanya kepada pemberita.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ayah serta keluarga yang sentiasa memberikannya sokongan dan galakan dalam bidang itu.

"Pada sesiapa yang ada masalah penglihatan, kita ni kena juga belajar baca al-Quran kerana dengan al-Quran ni, cerah masa depan kita," katanya.

Anak kelahiran Kelantan itu sebelum ini menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis itu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 10:28 PM