Sidang media oleh Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. FOTO L. MANIMARAN
Sidang media oleh Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. FOTO L. MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis Perak mempertingkatkan kawalan keselamatan di 16 Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh (IPD) dan 107 balai polis di negeri itu susulan kejadian serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata antara langkah yang diambil adalah mengkaji semula penugasan dan kekuatan bilangan anggota bertugas khususnya di pintu masuk perkarangan balai yang membabitkan waktu jam 10 malam ke atas.

Menurutnya, kawalan keselamatan balai dan IPD juga dipertingkatkan dengan anggota yang bertugas di pondok pos pengawal supaya peka dan berhati-hati dengan membuat pemeriksaan rapi terhadap individu yang hadir terutamanya melebihi jam 10 malam.

"Kita menambahkan anggota bertugas di sebelah malam terutamanya di bahagian pintu masuk atau pos pengawal setiap IPD dan balai.

"Mereka yang datang akan diperiksa dengan ketat. Apakah tujuan mereka datang, apakah keperluan untuk datang ke balai (pada waktu itu) dan juga memeriksa jika mereka ada membawa apa-apa bungkusan atau beg bersama.

"Kadar pencahayaan juga akan dipertingkatkan di sebelah malam. Saya sudah mengarahkan Ketua Jabatan Logistik membuat pemeriksaan di setiap balai untuk kita kaji pencahayaan terutamanya di pintu masuk, begitu juga dengan keadaan pagar rosak yang akan kita perbaiki bagi memperkukuhkan perimeter tahap keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu sidang media sempena kejayaan operasi serbuan tangkapan berkaitan edaran dadah di bilik sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata semua Ketua Polis Daerah (KPD) di Perak juga sudah diarah untuk mengkaji dan membuat penilaian berkaitan segi bentuk muka bumi yang mungkin juga dapat mempengaruhi tahap keselamatan di semua 16 IPD dan 107 balai polis di Perak dalam menjamin keselamatan 9,164 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak.

"Ketua Polis Negara mengarahkan seluruh kontinjen di Malaysia mempertingkat dan mengetatkan lagi kawalan keselamatan seluruh IPD dan balai, justeru pihak Polis Perak tidak terkecuali dan kita sudah mengambil beberapa langkah.

"Saya sudah mengarahkan semua KPD supaya mengkaji, melihat di manakah balai mereka yang berpotensi atau terdapat kekurangan di mana membolehkan ancaman sebegini diterima di balai mereka," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meminta pasukan PDRM meningkatkan tahap keselamatan di balai polis seluruh negara berikutan serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 12:42 PM