POLIS menahan suspek yang disyaki terbabit dengan jenayah penipuan dalam talian. FOTO Ihsan Polis
POLIS menahan suspek yang disyaki terbabit dengan jenayah penipuan dalam talian. FOTO Ihsan Polis
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Taktik sindiket penipuan berselindung di sebalik dua rumah yang dijadikan call centre terbongkar selepas premis di Persiaran KLCC, di sini diserbu polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan 4.20 petang itu menahan tujuh suspek dipercayai ahli sindiket penipuan pembelian dalam talian.

"Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi selama hampir sebulan dan menyasarkan mangsa di China dan Amerika Syarikat.

"Modus operandi sindiket adalah menggunakan aplikasi media sosial bagi mempromosikan kegiatan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sindiket ini juga menawarkan tiga pakej kepada mangsa yang kononnya boleh membawa keuntungan sehingga 10 ke 40 peratus.

Katanya, mangsa yang berminat akan diminta untuk membuat pembayaran kepada sindiket berkenaan menggunakan mata wang kripto.

Beliau berkata, kesemua suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan, dan empat lelaki serta dua wanita warga asing direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 120B/420/511 Kanun Keseksaan.

"Turut dirampas satu set komputer, telefon bimbit (15), laptop (lima), modem (satu), kad akses (satu), dan serangkai anak kunci.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 5:49 PM