Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Seorang Ahli Lembaga Pengarah syarikat nasi kandar terkenal direman tiga hari bagi membantu siasatan bersabit kes mengemukakan dokumen palsu menerusi proses penggajian dan penempatan semula pekerja asing.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas membenarkan permohonan dikemukakan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, R Yeohgeswarajen.

Terdahulu, lelaki berusia 43 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah jam 8.56 pagi.

Sumber SPRM berkata, suspek disyaki bersubahat dengan seorang pegawai Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang dengan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi Program Penggajian dan Penempatan Semula Disember tahun lalu.

Menurutnya, dokumen itu dibuat atas nama seorang individu yang juga pekerja syarikat berkenaan dan dikemukakan kepada JIM bagi proses penghantaran pulang pekerja asing.

Difahamkan pegawai imigresen terbabit yang juga seorang wanita berusia 32 akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas dirakam kenyataan dalam tempoh 24 jam.

Kedua-dua individu terbabit ditahan di dua lokasi berasingan di negeri ini semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 12:09 PM