GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Ampang Jaya: Penganggur menerima 11 jahitan selepas diserang dua lelaki menggunakan pisau pemotong buah dalam kejadian di Apartment Danau Pandan 1, Jalan Perdana, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak berkata, kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam lama antara mangsa dan suspek.

"Pada 19 Mei, jam 8 pagi mangsa yang juga seorang penganggur didatangi dua suspek lelaki yang dikenalinya, menaiki motosikal jenis Yamaha berwarna hitam tiada nombor pendaftaran.

"Tiba-tiba pembonceng belakang turun daripada motosikal lalu menggelar tangan mangsa menggunakan pisau pemotong buah, dan seorang lagi suspek mengambil dompet dan telefon bimbit pengadu jenis Vivo," katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, suspek wanita adalah kekasih mangsa dan motif serangan dipercayai akibat dendam berikutan mangsa dikatakan sering memukul wanita terbabit.

Mohd Farouk berkata, kedua-dua suspek kemudian bertindak terus melarikan diri manakala mangsa menerima 11 jahitan pada tangan kiri di Hospital Ampang akibat ditetak oleh salah seorang suspek terbabit.

Katanya, bertindak atas maklumat, pihak polis menyerbu sebuah flat di Jalan San Peng di sini dan menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 29 hingga 40 tahun dan seorang wanita berusia 19 tahun.

"Dua suspek lelaki bekerja sebagai buruh binaan, penjaga parkir manakala seorang suspek lelaki dan suspek wanita penganggur.

"Turut dirampas sebuah telefon bimbit dipercayai milik mangsa dan sebilah pisau dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa," katanya.

Menurutnya, ujian urin mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine dan semakan ke atas kesemua suspek lelaki mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 27 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (samun)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 7:04 PM