Suspek yang diberkas polis selepas membelasah isteri dan anaknya. Gambar Ihsan Polis.
Suspek yang diberkas polis selepas membelasah isteri dan anaknya. Gambar Ihsan Polis.
Junaidi Ladjana


Tidak cukup membelasah isterinya, seorang lelaki turut menampar dan memukul kepala anak perempuannya berkali-kali dalam kejadian di rumah mereka di Bandar Cenderawasih, Lahad Datu, Sabah, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi, ketika mangsa berusia 46 tahun sedang bercakap melalui telefon dengan seorang wanita yang mempunyai hubungan sulit dengan suaminya melalui Facebook.

Tiba-tiba suspek muncul dan terus memarahi isterinya hingga mencetuskan pertengkaran. Suspek kemudian memukul kepala mangsa dan menumbuk belakang tubuh mangsa bertubi-tubi.

Suspek turut menutup muka mangsa sehingga sukar bernafas.

Anak perempuan mereka berusia 19 tahun yang melihat situasi itu cuba menghalang suspek daripada terus memukul ibunya.

Namun suspek bertindak agresif apabila menampar mulut dan memukul kepala anaknya bertubi-tubi.

Mangsa kemudian berusaha menyelamatkan diri sebelum suspek berhenti memukul dan keluar dari rumah dalam keadaan marah.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang menanggung kesakitan di kepala dan badan membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, susulan laporan dibuat mangsa, suspek berjaya dikesan dan ditahan polis di sebuah bengkel jam 1.45 pagi semalam.

“Suspek berusia 49 tahun dan bekerja sebagai mekanik. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2012,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 5:36 PM