GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Polis menahan seorang lelaki dikenali 'Kecik Toyol' yang dipercayai mengugut dan mencederakan seorang wanita di sebuah rumah di Alor Merah, Sungai Dua, dekat Butterworth, Jumaat lalu.

Suspek berusia 27 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumah di Taman Sena Indah, Pokok Sena, di sini, pada 5.37 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan dibuat susulan polis menerima laporan daripada mangsa iaitu wanita berusia 20 tahun.

"Mangsa mendakwa suspek datang ke rumahnya 4 petang Jumaat lalu, Suspek berang apabila ditegur mengenai kedatangannya ke rumah yang didiami perempuan sahaja.

"Dia (mangsa) juga mendakwa suspek berang kerana dia tidak mengikut arahannya untuk bekerja menguruskan perniagaan air ketum diusahakan lelaki itu.

"Suspek yang gagal mengawal kemarahan menarik tangan mangsa dan menghentak kepala wanita itu di dinding selain menendang perut dan peha mangsa," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, dalam laporannya, mangsa juga mendakwa suspek turut memukul adik perempuannya berusia 17 tahun dan ibunya yang cuba menghalang lelaki itu.

"Suspek beredar dari rumah itu namun keesokannya dia menghantar mesej kepada adik mangsa mengugut mahu mencederakan lagi mangsa selain mahu menyebarkan gambar yang boleh memalukan keluarga mereka.

"Takut dengan tindakan suspek apatah lagi mengetahui suspek seorang penagih dadah menyebabkan mangsa tampil membuat laporan polis," katanya.

Katanya, susulan laporan itu pihak berkuasa berjaya menahan suspek selepas usaha mengesannya dilakukan.

"Suspek mulanya enggan memberi kerjasama. Dia (suspek) mengambil sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 25 sentimeter untuk menghalang polis dari menahannya. Usahanya itu gagal dan selepas diberkas, dia mengaku memukul dan mengugut mangsa.

Katanya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 4:13 PM