MOHAMAD Helmi diarahkan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MOHAMAD Helmi diarahkan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, membenarkan lelaki yang sepatutnya didakwa bagi pertuduhan mencederakan ibu kandung serta adik lelakinya pada Selasa lalu untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan.

Hakim Rohaida Ishak mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan supaya tertuduh, Mohamad Helmi Hamzah, 29, dirujuk ke hospital psikiatri bagi pemeriksaan mental sebelum prosiding pendakwaan dibuat.

Tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding hari ini apabila tertuduh membuat reaksi tidak tahu sewaktu jurubahasa mahkamah bertanya sama ada tertuduh memahami dan mengaku bagi pertuduhan mencederakan ibunya.

Berdasarkan pertuduhan dibacakan itu, Mohamad Helmi didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas ahli keluarganya sendiri iaitu Noraina Ismail, 54, menggunakan spanar iaitu alat yang jika digunakan sebagai senjata mungkin menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh terhadap ibunya di sebuah rumah di Kampung Bongor di Gerik, dalam daerah Hulu Perak kira-kira jam 6.30 pagi, 21 Mei lalu.

Perbuatan itu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Akta sama yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pertuduhan kedua iaitu bagi kesalahan mencederakan adiknya bagaimanapun tidak dibacakan.

Tiada jaminan ditawarkan dan Muhammad Firdaus turut menyatakan kepada mahkamah bahawa siasatan polis mendapati tertuduh sememangnya mempunyai sejarah rawatan berkaitan psikiatri sebelum ini, justeru pihaknya memerlukan masa sebulan untuk melihat status kesihatan mental tertuduh.

Tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan oleh mahkamah pada 24 Jun depan.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan polis menahan seorang lelaki yang tergamak mencederakan ibunya sendiri ketika ibunya itu sedang mendirikan solat dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bongor, Gerik, pada pagi Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilapor berkata dalam kejadian itu, suspek turut mencederakan adik lelakinya berusia 15 tahun yang cuba membantu ibu mereka daripada amukan suspek yang ketika itu bersenjatakan spanar pembuka plug dan sebilah pisau pemotong getah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 12:46 PM