FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Fuad Hadinata Yaacob


SURI kerugian RM7.9 juta ditipu lelaki menawarkan nombor ramalan dengan hadiah kemenangan RM5.5 juta (US$1.3 juta).

Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suri rumah 49 tahun hanya mengenali suspek melalui Facebook, Julai lalu.

Katanya, wanita itu hanya menyedari ditipu, pada September lalu.

Beliau berkata, mangsa yang tidak pernah menemui suspek memaklumkan lelaki itu bekerja di satu syarikat loteri di Hong Kong.

“Suspek menawarkan nombor ramalan kepada mangsa. Suri rumah itu bersetuju membelinya pada nilai RM102,300. Hadiah bagi nombor ramalan itu aalah US$1.3 juta.

“Selepas membuat bayaran, suspek memberitahu bahawa suri rumah itu memenangi nombor ramalan yang dibeli itu.

“Mangsa diminta membuat bayaran tambahan iaitu cukai peribadi dan cukai kerajaan sebelum memperoleh wang terbabit," katanya.

Beliau berkata, suri rumah itu kemudian memasukkan wang yang diminta suspek ke dalam 22 akaun bank yang diberikan dengan jumlah keseluruhan RM7,927,160.

Sehinga ini, katanya, mangsa masih belum menerima wang hadiah nombor ramalan yang dimenangi itu dan mengesyaki ditipu.

Beliau berkata, wang mangsa itu diperoleh daripada insurans kematian suaminya selain harta sepencarian bersama mendiang suami dalam perniagaan.

Menurutnya, mendiang suami suri rumah itu juga mempunyai syarikat serta pemegang saham.

Katanya, semua harta mendiang suami diserahkan kepada suri rumah itu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 1:03 PM